Sunday, February 28, 2010

sayang sarawak (bahagian 1)


Hari ini, hatiku berdetik lagi. Mencoret sedikit kata untuk sejuta rasa jiwa. Meronta bagaikan gila. Aku ingin terus di sini. Di tanah lahirku ini. Di kala malam akan menjelang, aku berada di tengah-tengah bandaraya Kuching yang begitu tinggi nilai romantisnya pada diriku. Aku seolah-olah terpanggil untuk menghayati setiap apa yang aku temui. Bermula dari pusat bandaraya, aku diriku berlegar-legar di setiap pelusuknya. Bangunan-bangunan tinggi memperlihatkan kepada aku betapa ruginya aku jauh dari sini. Aku berjumpa dengan teman-teman yang sememangnya menetap di sini. Ah, betapa untungnya mereka di sini. Dekat bersama keluarga, kerabat dan teman sahabat. Tetapi aku jauh di sana. Mencari satu kunci membuka seluas-luas pintu rezeki ku nanti. Aku berborak sebentar bersama mereka. Jarum jam seolah-olah cepat bergerak. Tandanya aku perlu segera pulang menusur Sungai Sarawak. Dalam perjalanan pulang ke teratak usang ku, aku terpandang beberapa kelibat remaja muda bersama teman-teman. Keseronokan. Kehiburan. Keriangan. Semua terpancar di setiap inci wajah mereka. Mengapa aku perlu tinggalkan tempat ini. Aku kadang-kadang tertanya-tanya apa sebab puncanya padahal aku sudah temui akan punca jawapannya. Aku ter lihat kelibat Pak Tambang yang setia dengan pendayungnya yang semakin tua seusia dirinya. Aku segera ke tebing sungai untuk memastikan diriku akan menjadi penumpang kepada perahu itu. Kerana aku pasti, sebentar lagi akan penuh setiap ruang di dalam perut perahu ini. Angin bertiup lembut, telefon di tangan ku bergetar seterusnya berbunyi. Aku segera menekan butang hijau di sebelah kirinya untuk membenarkan suara yang ingin menghubungi diri ku dapat ku dengari. “Assalamualaikum Safwan.” “Waalaikumsalam, ya Fahmi, ada apa?.” Soalku pasti kepada Fahmi saudaraku yang menghubungi. “Ibu jemput datang makan malam di rumah, bawa orang tua mu bersama ya.” Pesanan Fahmi ku jawab dengan ringkas tetapi penuh kepastian yang aku akan ke rumahnya nanti. Rupa-rupanya perahu yang ku tumpang sudah sampai di seberang sungai. Terlihat anak-anak kecil berlari-lari menyambut penumpang-penumpang di dalam perut perahu. Mungkin kerabatnya di sini. Aku meletakkan dua keping syiling di atas tempat duduk Pak Tambang yang bernilai empat puluh sen. Mungkin terlalu kecil nilainya buat mereka yang bukan asalnya di sini, tetapi mungkin besar buat mereka yang benar-benar memahami nilai itu. Nilai setiap kayuhan Pak Tambang yang merempuh panas dan hujan untuk menghantar setiap mereka yang ingin ke seberang. Mungkinkah terbayar nilai itu? Bersambung…