Terdengar sahaja nama sungai, tiba-tiba hati ku tergerak untuk menulis kisah Sungai Sarawak yang membawa aku ke dalam dunia memori indak ku. Hati ini bagai ingin terus berada di sungai ini kerana di sinilah tempat bermain si anak rantau. Perjalanan yang kadang kala perlahan melawan arus sungai yang deras namun akhirnya tetap sampai juga ke seberang yang menjanjikan pulangan nan lumayan. Ah, adakah hanya di seberang itu tempat adanya rezeki. Ya, hati ku berkata ya. Hanya di seberang itulah tempat kerah keringat si anak rantau. Mencari rezeki buat tatapan seisi keluarga yang sentiasa berharap dan terus menanti. Mengapa biarkan pelita perahu itu tiada bernyala. Siapakah aku si anak rantau untuk mengarah si pendayung perahu untuk menyalakan pelita itu. Biarlah perahu ini terus menyeberang ke seberang sana. Biarlah tanpa cahaya di perut perahu ini, tetapi berkat kami si anak rantau yang mencari rezeki di bumi sana sempat sampai ke tebingnya sebelum deras mu si sungai Sarawak semakin deras. Sesekali terdengar lagu Ros Kalas dialun oleh Pak Tambang. Ah, Pak Tambang... Kau bawa aku semakin mengekori dunia memori ku. Terbayang si bunga di taman tadi. Memberi senyuman walau dihalang si pohon delima. Pak Tambang, kuatkanlah kayuh mu itu. Biar aku akan segera sampai ke sana. Aku ingin bina sebuah hidup nan baru. Punya bunga terus segar mewangi, takkan layu walau disinggah si kumbang lalu. Ayuh kayuh Pak Tambang, kerana sungai semakin deras...
No comments:
Post a Comment