Sunday, February 28, 2010

sayang sarawak (bahagian 1)


Hari ini, hatiku berdetik lagi. Mencoret sedikit kata untuk sejuta rasa jiwa. Meronta bagaikan gila. Aku ingin terus di sini. Di tanah lahirku ini. Di kala malam akan menjelang, aku berada di tengah-tengah bandaraya Kuching yang begitu tinggi nilai romantisnya pada diriku. Aku seolah-olah terpanggil untuk menghayati setiap apa yang aku temui. Bermula dari pusat bandaraya, aku diriku berlegar-legar di setiap pelusuknya. Bangunan-bangunan tinggi memperlihatkan kepada aku betapa ruginya aku jauh dari sini. Aku berjumpa dengan teman-teman yang sememangnya menetap di sini. Ah, betapa untungnya mereka di sini. Dekat bersama keluarga, kerabat dan teman sahabat. Tetapi aku jauh di sana. Mencari satu kunci membuka seluas-luas pintu rezeki ku nanti. Aku berborak sebentar bersama mereka. Jarum jam seolah-olah cepat bergerak. Tandanya aku perlu segera pulang menusur Sungai Sarawak. Dalam perjalanan pulang ke teratak usang ku, aku terpandang beberapa kelibat remaja muda bersama teman-teman. Keseronokan. Kehiburan. Keriangan. Semua terpancar di setiap inci wajah mereka. Mengapa aku perlu tinggalkan tempat ini. Aku kadang-kadang tertanya-tanya apa sebab puncanya padahal aku sudah temui akan punca jawapannya. Aku ter lihat kelibat Pak Tambang yang setia dengan pendayungnya yang semakin tua seusia dirinya. Aku segera ke tebing sungai untuk memastikan diriku akan menjadi penumpang kepada perahu itu. Kerana aku pasti, sebentar lagi akan penuh setiap ruang di dalam perut perahu ini. Angin bertiup lembut, telefon di tangan ku bergetar seterusnya berbunyi. Aku segera menekan butang hijau di sebelah kirinya untuk membenarkan suara yang ingin menghubungi diri ku dapat ku dengari. “Assalamualaikum Safwan.” “Waalaikumsalam, ya Fahmi, ada apa?.” Soalku pasti kepada Fahmi saudaraku yang menghubungi. “Ibu jemput datang makan malam di rumah, bawa orang tua mu bersama ya.” Pesanan Fahmi ku jawab dengan ringkas tetapi penuh kepastian yang aku akan ke rumahnya nanti. Rupa-rupanya perahu yang ku tumpang sudah sampai di seberang sungai. Terlihat anak-anak kecil berlari-lari menyambut penumpang-penumpang di dalam perut perahu. Mungkin kerabatnya di sini. Aku meletakkan dua keping syiling di atas tempat duduk Pak Tambang yang bernilai empat puluh sen. Mungkin terlalu kecil nilainya buat mereka yang bukan asalnya di sini, tetapi mungkin besar buat mereka yang benar-benar memahami nilai itu. Nilai setiap kayuhan Pak Tambang yang merempuh panas dan hujan untuk menghantar setiap mereka yang ingin ke seberang. Mungkinkah terbayar nilai itu? Bersambung…

Sunday, November 1, 2009

Izinkan Aku Ke Sini

Musim haji tiba lagi.. beberapa jemputan majlis al-wida' ku terima. Sebagai muslim, wajib bagi ku memenuhi undangan itu. Kadang kala, fikiran ku jauh melayang. Ingin juga rasanya bersama dengan jutaan umat manusia yang pelbagai ras dan budaya di rumah Agung itu. Hurm.. hati kecil meronta lagi setelah aku terlihat sekeping gambar tergantung di dinding itu.. Ya Allah, Izinkan hamba mu yang kerdil ini ke sana.. tok.. tok.. tok.. pintu bilik ku diketuk, terdengar suara salam dari luar pintu. "Ya, silakan.." kataku tanpa tahu persis siapa di luar pintu itu. "Saya ingin membuat sedikit kajiselidik." tetamu ku berkata. "Owh, pasti." jawabku. Selesai menjawab aku menghulur kertas itu, seukir senyuman ku hadiahkan..

Yang pasti musim haji tahun ini, aku bukanlah antara tetamu Allah. Tapi aku tetap bertekad, satu hari nanti aku akan melawat Mu di sana.. Kedengaran azan berkumandang menandakan masuknya waktu Asar. "Ya Allah.." hati kecil ku berkata lagi, "aku belum solat Zuhur.. huh, layakkah aku ke sana.."

Wednesday, September 30, 2009


Dewan Undangan Negeri Sarawak Baru 2009

Sederas Sungai Sarawak

Terdengar sahaja nama sungai, tiba-tiba hati ku tergerak untuk menulis kisah Sungai Sarawak yang membawa aku ke dalam dunia memori indak ku. Hati ini bagai ingin terus berada di sungai ini kerana di sinilah tempat bermain si anak rantau. Perjalanan yang kadang kala perlahan melawan arus sungai yang deras namun akhirnya tetap sampai juga ke seberang yang menjanjikan pulangan nan lumayan. Ah, adakah hanya di seberang itu tempat adanya rezeki. Ya, hati ku berkata ya. Hanya di seberang itulah tempat kerah keringat si anak rantau. Mencari rezeki buat tatapan seisi keluarga yang sentiasa berharap dan terus menanti. Mengapa biarkan pelita perahu itu tiada bernyala. Siapakah aku si anak rantau untuk mengarah si pendayung perahu untuk menyalakan pelita itu. Biarlah perahu ini terus menyeberang ke seberang sana. Biarlah tanpa cahaya di perut perahu ini, tetapi berkat kami si anak rantau yang mencari rezeki di bumi sana sempat sampai ke tebingnya sebelum deras mu si sungai Sarawak semakin deras. Sesekali terdengar lagu Ros Kalas dialun oleh Pak Tambang. Ah, Pak Tambang... Kau bawa aku semakin mengekori dunia memori ku. Terbayang si bunga di taman tadi. Memberi senyuman walau dihalang si pohon delima. Pak Tambang, kuatkanlah kayuh mu itu. Biar aku akan segera sampai ke sana. Aku ingin bina sebuah hidup nan baru. Punya bunga terus segar mewangi, takkan layu walau disinggah si kumbang lalu. Ayuh kayuh Pak Tambang, kerana sungai semakin deras...

Kek Lapis

Apakah Syawal di Bumi Kenyalang tanpa sepotong kek lapis Sarawak. Biarlah harganya melambung tinggi di musim ini, namun tiap rumah biar besar mahupun kecil terus menerus mengusaha tiap kudarat yang ada untuk memilikinya. Biarlah kek lapisnya biasa, namun tiap tuan rumah punya satu matlamat nan pasti iaitu menjamu tamu dengan semeriahnya. Namun apakah hanya kek lapis penyeri segala duka dan lara di pagi raya? Pastinya setiap surirumah sibuk melapis kek berjam-jam lamanya, namun satu kepuasan mungkin mereka rasakan. Tapi yang pasti nama besar pemilik gedung kek lapis Sarawak seperti Rabiah Amit, Dayang Salhah dan pengedarnya berpuas hati melihat hasil jualan dan keuntungan yang diperolehi. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Menunaikan Ibadah Sunat Puasa Enam.

rinduku pada Sarawak

Hari ini genap 3 bulan di tanah Melayu. Namun hatiku masih meronta-ronta memanggil nama mu. Mungkin telah ditakdirkan aku mesti bersamamu. biarlah beribu batu jauh aku tinggalkan dirimu. Namun hati ini tidak dapat menahan rindu padamu. Adakah ini ertinya kita perlu bersatu? Mencari tiap resah gelisah, suka mulia, dan hidup bersama. Ah, ingin ku biarkan bunga itu terus berkembang tanpa si kumbang. Biarlah aku di sini sementara mengerti apakah dunia. Kita lupakan seketika kisah lara. Marilah bersama menyusun tangga bahagia. Agar bisa mencapai tiap apa dikata...