Wednesday, September 30, 2009


Dewan Undangan Negeri Sarawak Baru 2009

Sederas Sungai Sarawak

Terdengar sahaja nama sungai, tiba-tiba hati ku tergerak untuk menulis kisah Sungai Sarawak yang membawa aku ke dalam dunia memori indak ku. Hati ini bagai ingin terus berada di sungai ini kerana di sinilah tempat bermain si anak rantau. Perjalanan yang kadang kala perlahan melawan arus sungai yang deras namun akhirnya tetap sampai juga ke seberang yang menjanjikan pulangan nan lumayan. Ah, adakah hanya di seberang itu tempat adanya rezeki. Ya, hati ku berkata ya. Hanya di seberang itulah tempat kerah keringat si anak rantau. Mencari rezeki buat tatapan seisi keluarga yang sentiasa berharap dan terus menanti. Mengapa biarkan pelita perahu itu tiada bernyala. Siapakah aku si anak rantau untuk mengarah si pendayung perahu untuk menyalakan pelita itu. Biarlah perahu ini terus menyeberang ke seberang sana. Biarlah tanpa cahaya di perut perahu ini, tetapi berkat kami si anak rantau yang mencari rezeki di bumi sana sempat sampai ke tebingnya sebelum deras mu si sungai Sarawak semakin deras. Sesekali terdengar lagu Ros Kalas dialun oleh Pak Tambang. Ah, Pak Tambang... Kau bawa aku semakin mengekori dunia memori ku. Terbayang si bunga di taman tadi. Memberi senyuman walau dihalang si pohon delima. Pak Tambang, kuatkanlah kayuh mu itu. Biar aku akan segera sampai ke sana. Aku ingin bina sebuah hidup nan baru. Punya bunga terus segar mewangi, takkan layu walau disinggah si kumbang lalu. Ayuh kayuh Pak Tambang, kerana sungai semakin deras...

Kek Lapis

Apakah Syawal di Bumi Kenyalang tanpa sepotong kek lapis Sarawak. Biarlah harganya melambung tinggi di musim ini, namun tiap rumah biar besar mahupun kecil terus menerus mengusaha tiap kudarat yang ada untuk memilikinya. Biarlah kek lapisnya biasa, namun tiap tuan rumah punya satu matlamat nan pasti iaitu menjamu tamu dengan semeriahnya. Namun apakah hanya kek lapis penyeri segala duka dan lara di pagi raya? Pastinya setiap surirumah sibuk melapis kek berjam-jam lamanya, namun satu kepuasan mungkin mereka rasakan. Tapi yang pasti nama besar pemilik gedung kek lapis Sarawak seperti Rabiah Amit, Dayang Salhah dan pengedarnya berpuas hati melihat hasil jualan dan keuntungan yang diperolehi. Selamat Hari Raya Aidilfitri dan Selamat Menunaikan Ibadah Sunat Puasa Enam.

rinduku pada Sarawak

Hari ini genap 3 bulan di tanah Melayu. Namun hatiku masih meronta-ronta memanggil nama mu. Mungkin telah ditakdirkan aku mesti bersamamu. biarlah beribu batu jauh aku tinggalkan dirimu. Namun hati ini tidak dapat menahan rindu padamu. Adakah ini ertinya kita perlu bersatu? Mencari tiap resah gelisah, suka mulia, dan hidup bersama. Ah, ingin ku biarkan bunga itu terus berkembang tanpa si kumbang. Biarlah aku di sini sementara mengerti apakah dunia. Kita lupakan seketika kisah lara. Marilah bersama menyusun tangga bahagia. Agar bisa mencapai tiap apa dikata...